BESUT: Pelbagai peralatan dan bahan sejarah Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) kini dipamerkan di Muzium Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) di sini, yang dibuka mulai semalam.
Muzium itu, yang pembukaannya dirasmikan Panglima Tentera Udara, Tan Sri Datuk Seri Rodzali Daud, diilhamkan bekas pengerusi muzium, Leftenan Kolonel Azhar Mohamad.
Komandan PUGK, Kolonel Zahani Zainal Abidin hari ini berkata, muzium itu ditempatkan di bahagian teknikal PUGK dengan bangunan asalnya ialah bekas mahkamah tentera.
“Muzium itu terbahagi kepada tiga galeri yang merangkumi bahan sejarah PUGK dan TUDM, auditorium dan bahan pameran Aerospace Technology System Corporation (ATSC) dan Hitech Padu,” katanya kepada pemberita.
"Selain itu, muzium ini juga mempamerkan pesawat pemintas F-5E yang suatu ketika dulu pernah menjadi kebanggaan negara dan juga jet pejuang yang terpenting dalam mempertahankan kedaulatan ruang angkasa.
"Pakaian tentera udara sejak Perang Dunia kedua, peralatan teknikal dan persenjataan pesawat tempur pelbagai peranan Sukhoi SU-30MKM buatan Russia dan peralatan khusus skuadron di Pangkalan Udara juga dipamerkan," katanya.
Zahani berkata, buat permulaan, muzium itu dibuka kepada pelajar sekolah. - BERNAMA