KUALA LUMPUR, 10 Jun 14 – Lawatan rasmi Admiral Harry B. Harris, JR, Commander U.S Pacific Fleet (COMPACFLT) ke atas Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar di Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan di sini hari ini mengukuhkan lagi hubungan bilateral antara Tentera Laut Amerika Syarikat dan TLDM yang sekian lama terjalin.
Lawatan rasmi ini merupakan sebahagian daripada ‘military diplomacy’ yang amat penting dalam mengimbangi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Selain dapat bertukar maklumat berkaitan isu keselamatan serantau, beberapa isu berbangkit serta pandangan mengenai isu-isu ketenteraan maritim dua hala turut diperbincangkan yang melibatkan kedua-dua angkatan laut.
Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada hasrat Admiral Harry B. Harris JR untuk melawat Malaysia dan ia juga merupakan satu konsep welcome aboard yang diamalkan oleh Tentera Laut di seluruh dunia dalam meningkatkan lagi persefahaman di antara satu sama lain.
Secara keseluruhan, lawatan ini turut memperlihatkan pandangan Malaysia
mengenai keselamatan maritim serantau dan persempadanan kawasan bagi kedua-dua negara serta memberikan pandangan alternatif kepada isu-isu semasa dalam meneruskan kesinambungan hubungan yang sedia terjalin. Pertemuan hari ini diakhiri dengan pertukaran cenderahati sebagai tanda kenangan di antara kedua belah pihak.