Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Moeldoko berkata, dia berang dengan tindakan kerajaan Malaysia membina rumah api di kawasan perairan yang dituntut kedua-dua negara di luar pantai Pulau Borneo.
Moeldoko dalam kenyataannya kepada wartawan mendakwa kawasan perairan itu terletak di Tanjung Datu di daerah Paloh, Kalimantan Barat yang dikuasai Indonesia.
Menurutnya, TNI mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan isu rumah api itu tanpa perlu menunggu hasil rundingan diplomatik kerana ia membabitkan masalah pertahanan.
“Jika kerajaan Malaysia enggan meruntuhkan rumah api itu, tentera Indonesia akan meruntuhkannya. Saya sudah maklumkan perkara ini kepada wakil Indonesia supaya bertindak cepat, jangan tunggu lebih lama,” katanya. (Harian Metro)