Oleh: Saiful Akbar Mislan.
Peluru berpandu anti kapal bukanlah sesuatu yang baru malah ia telah mula digunakan sejak Perang Dunia Kedua dan biarpun konsep peluru berpandu anti kapal masih belum matang sepenuhnya, ia telah mula menunjukkan potensinya apabila peluru berpandu Fritz- X Jerman berjaya menenggelamkan kapal perang Roma Tentera Laut Itali. Secara keseluruhannya, peluru berpandu ini berjaya menenggelamkan empat buah kapal perang ( sebuah kapal perang, sebuah kapal kruis, sebuah kapal pembinasa dan sebuah kapal hospital) dan mengakibatkan kerosakan yang serius kepada 3 kapal kruis pihak Bersekutu. Era pasca Perang Dunia Kedua sekali lagi menunjukkan betapa peluru berpandu anti kapal mampu memberikan keupayaan kepada kapal peronda kecil untuk memusnahkan kapal pembinasa yang saiznya jauh lebih besar. Ini terbukti apabila sebuah kapal pembinasa Tentera Laut Israel berjaya ditenggelamkan oleh kapal serang laju kelas Komar Tentera Laut Mesir menggunakan peluru berpandu P-15 Termit (SS-N-2 Styx). Sejak daripada itu, peluru berpandu anti kapal menjadi bukan sahaja ancaman yang nyata tetapi juga digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri daripada ancaman kapal perang musuh.
Dalam memperkatakan tentang peluru berpandu anti kapal, seringkali ia tertumpu kepada peluru berpandu yang dikeluarkan oleh negara-negara kuasa besar dan yang terbukti efektif dalam pertempuran. Misalnya RGM-84 Harpoon terkenal kerana digunakan oleh kapal perang Amerika dan negara-negara sekutunya. 3M-80 Moskit (SS-N-22 Sunburn) terkenal dengan keupayaannya bergerak ke sasaran dalam kelajuan supersonik manakala Exocet pula terkenal kerana telah terbukti efektif di dalam beberapa peperangan. Sebenarnya terdapat beberapa peluru berpandu anti kapal yang kurang dikenali atau disebut tetapi tetap efektif dan merbahaya. Salah satu daripadanya adalah RBS-15 keluaran Firma Saab Bofors Dynamics.