Pengalaman tempur telah menunjukan bahawa peluru berpandu anti kapal yang sedia ada telah terbukti masih berbisa di medan tempur. Pun begitu, kemunculan banyak kapal perang generasi baru yang menggunakan teknologi stealth serta pelbagai sistem umpanan dan sistem pertahanan elektronik yang ditawarkan di pasaran, keberkesanan peluru berpandu anti kapal sedia ada dijangka akan berkurangan. Kini telah muncul sebuah peluru berpandu anti kapal generasi baru yang dijangka akan mampu menembusi sistem pertahanan kapal perang iaitu Naval Strike Missile atau NSM.
Dalam pencarian sistem peluru berpandu anti kapal yang sesuaian untuk melengkapi kapal- kapal perang generasi baru mereka, Tentera Laut Diraja Norway telah mendapati sistem peluru berpandu anti kapal yang berada di pasaran tidak mampu untuk memenuhi keperluan mereka terutamanya untuk era selepas 2015. oleh itu, Tentera Laut Diraja Norway telah membuat keputusan untuk membangunkan sistem peluru berpandu anti kapal baru yang dilengkapi dengan teknologi terkini serta mampu memenuhi bukan sahaja keperluan mereka tetapi juga tentera laut di seluruh dunia. Pembangunan peluru berpandu anti kapal baru ini telah diberikan kepada firma Kongsberg Defense & Aerospace yang turut sama membangunkan peluru berpandu Penguin. Pada pertengahan dekad 90an, Tentera Laut Diraja Norway telah mengeluarkan keperluan untuk pengganti peluru berpandu anti kapal Penguin dan peluru berpandu anti kapal baru ini diberi nama Nytt Sjømålsmissil. Kongsberg Defense & Aerospace kemudiannya telah mengubah nama peluru berpandu anti kapal ini kepada Naval Strike Missile (NSM).
Sejak daripada konsep permulaan lagi, NSM direka agar bersifat sangat fleksibel dan mampu dilancarkan daripada pelbagai platform pelancar daripada kapal perang, pesawat pejuang hinggalah ke bateri pertahanan pantai terhadap sasaran di permukaan laut mahupun di darat. menggunakan konsep peluru berpandu anti kapal Penguin sebagai asas, NSM menggabungkan penderia elektro-optik dengan jangkauan operasi yang lebih jauh serta teknologi stealth yang menjadikannya sukar untuk dikesan.