Buat pertama kalinya juga, kedua-dua eksesais ini digabungkan bagi mengoptimumkan penggunaan aset serta elemen-elemen udara dari kedua-dua angkatan udara dengan mensasarkan objektif-objektif berikut:
- Untuk meningkatkan pemahaman pelaku dengan prosidur bersama yang telah dipersetujui bagi memastikan pelaksanaan operasi udara gabungan dijalankan dengan selamat, cekap dan berkesan di antara TUDM dan USAF.
- Untuk meningkatkan prosedur yang sedia ada bagi eksesais gabungan untuk kedua-dua angkatan udara.
- Memberi peluang untuk latihan dalam suasana Dissimilar Air Combat Tactic (DACT) dan Combine Air Operations.
- Mengukuhkan persefahaman, setiakawan dan perhubungan antara TUDM dan USAF.
Selain dari itu, eksesais ini adalah merupakan eksesais terbesar TUDM yang dilaksanakan pada tahun ini yang akan menyaksikan penglibatan penggunaan pelbagai aset dan elemen udara dari kedua-kedua angkatan udara seperti penggunaan pesawat-pesawat pejuang, pengangkut dan juga helikopter. Penglibatan pegawai dan anggota dari kedua-dua angkatan udara adalah seramai 1000 orang.
Selain dari itu, penggunaan elemen udara yang lain turut digunakan bagi menguji kemampuan kedua-dua tentera Udara, elemen tersebut seperti Pasukan Khas Udara,
Peperangan Elektronik, Mencari dan Menyelamat dan sebagainya. Selain dari itu, terdapat juga penggunaan elemen Tentera Darat dan juga Tentera laut Diraja Malaysia yang akan turut terlibat dalam latihan ini.
Pada latihan udara kali ini, TUDM akan menghantar pesawat-pesawat pejuang antaranya, Sukhoi Su - 30 MKM, F/A 18D Hornet, Hawk, MiG-29N, helikopter EC 725 dan Nuri serta pesawat pengangkut C130H. Manakala USAF pula akan turut menghantar pesawat pejuang dan juga pengangkutnya seperti pesawat pejuang F22 Raptor dan F15 C/D serta pesawat pengangkut seperti pesawat C17 Globe Master.
Bagi pesawat-pesawat dari USAF, Pesawat-pesawat Pengangkut dan juga pejuang akan mula tiba di Pangkalan Udara Butterworth dan juga di Pangkalan Udara Subang mulai 6 Jun 14.
Sepanjang latihan ini berjalan, ianya akan melibatkan penggunaan ruang angkasa Malaysia serta kawasan Selat Melaka. Orang ramai akan dapat menyaksikan pesawat-pesawat dari kedua-dua negara akan terbang rendah dan juga peningkatan bunyi pesawat terutama di sekitar Pangkalan Udara Butterworth, Lembah Kelang, dan juga di kawasan pantai Timur semenanjung.
Markas Tentera Udara ingin meminta orang ramai agar tidak merasa gusar sekiranya terdapat pergerakan anggota tentera dan juga pesawat udara di kawasan mereka, kerana ianya adalah merupakan latihan udara bersama diantara TUDM dan USAF yang sedang berjalan mulai 6 Jun hingga 20 Jun 14.