Rata- rata ramai diantara rakyat Malaysia menyedari akan masalah pencerobohan pengganas daripada negara jiran. Masalah ni bukan saja memalukan negara tapi juga menjadikan ramai penduduk di negeri Sabah tidak begitu yakin akan jaminan keselamatan yang diberikan oleh pemimpin tertinggi negara. Bukan itu saja, malah industri pelancongan di Sabah turut sama menerima tempiasnya.
Walaupun jaminan demi jaminan telah diberikan bahawa perairan di sempadan negara telah dikawal ketat, pengganas dari negara jiran tetap berjaya menyusup masuk membolosi sekatan dan melakukan penculikan. Satu fakta mungkin tidak disedari ramai adalah perairan negara yang perlu diawasi dengan ketat adalah terlalu luas. Meskipun kerajaan telah memperuntukan banyak aset termasuklah bot- bot laju, radar dan anggota, ia seperti masih belum mencukupi untuk mengawasi zon tanggungjawab Esscom yang meliputi kawasan sepanjang 1,733 kilometer dengan keluasannya sekitar 100,000 km persegi termasuk 486 buah pulau. Tidak cukup dengan itu, masalah ini ditambah lagi dengan jumlah trafik yang cukup tinggi di perairan tersebut termasuklah aktiviti nelayan, perkapalan dan juga bot- bot pengangkutan awam. Perlu diingat bahawa jalan air adalah cara pengangkutan utama di kawasan tersebut yang menghubungkan diantara kampung ke kampung. Ini menjadikan tugas pasukan keselamatan semakin sukar terutamanya untuk mengenalpasti pengganas dan memudahkan aktiviti penyusupan masuk oleh anasir- anasir subversif dan agen- agen yang membantu pengganas. Jarak diantara kawasan pantai dengan sempadan perairan negara yang dekat juga tidak membantu. ini membolehkan pengganas sampai ke kawasan sasaran dengan pantas sesudah menyusup masuk dan meyusup keluar sebelum pasukan keselamatan sempat bertindak. Ada kawasan di perairan Sabah yang terletak kurang 100 kilometer daripada perairan antarabangsa dan secara teorinya sebuah bot laju boleh menyusup keluar daripada kawasan tersebut dalam masa singkat! Sekalipun dapat dikejar dan dipintas, pengganas selalunya akan membuang senjata mereka dengan pantas ke dalam laut dan menyamar sebagai orang awam. Ini akan menidakkan bukti dan menyukarkan pasukan keselamatan untuk mendakwa mereka di mahkamah.
Jadi secara ringkasnya bolehlah dirumuskan bahawa pasukan keselamatan memerlukan aset yang mampu meronda kawasan yang luas dalam masa yang singkat, mempunyai sistem penderia yang canggih dan mampu mengenalpasti sasaran dalam semua keadaan cuaca, siang ataupun malam serta mampu meronda dalam tempoh yang lama.
UAV bersenjata
Pesawat tanpa pemandu atau Unmanned Aerial Vehicle (UAV) secara mudahnya sebuah pesawat kecil yang dipandu secara kawalan jauh samada melalui gelombang radio secara terus atau kawalan melalui satelit. Bergantung kepada jenis dan tugas, UAV dikeluarkan dalam pelbagai bentuk dan saiz. Kebanyakannya adalah seperti pesawat mainan kawalan jauh tetapi dilengkapi dengan sistem penderia canggih dan keupayaan untuk memancarkan imej kembali ke pusat kawalan. Konsep UAV sebenarnya telah dilahirkan sejak Perang Dunia Pertama lagi sebelum digunakan oleh Tentera Udara Amerika bagi tujuan peninjauan semasa Perang Vietnam. Ia kemudiannya dimajukan dan digunakan oleh Israel untuk tugas peninjauan dan mengumpan sistem pertahanan udara Syria pada awal tahun 1980an. Kini UAV digunakan dalam banyak tugas terutamanya untuk tugas peninjauan dan perisikan. Pada awal abad ke 21, Amerika telah mengubahsuai UAV MQ-1 mereka untuk berupaya membawa dan melancarkan peluru berpandu anti armor AGM-114 Hellfire bagi tugas serangan. UAV yang dikenali sebagai MQ-9 Reaper kini digunakan secara intensif utuk bukan sahaja melakukan peninjauan tetapi juga merakukan serangan terhadap pemimpin- pemimpin kumpulan pengganas terutamanya pemimpin kumpulan Al-Qaida di Afghanistan mahupun Pakistan. Serangan- serangan ini dianggap sangat berjaya sehingga memaksa kebanyakan pemimpin kumpulan pengganas tersebut bersembunyi dan peningkatan jumlah pemimpin yang terkorban dalam masa yang singkat akibat serangan UAV Amerika telah menyaksikan barisan kepimpinan kumpulan- kumpulan pengganas tersebut telah menjadi kacau- bilau.
Kini negara menghadapi masalah yang hampir sama. Pengganas daripada negara jiran menceroboh masuk dan menculik dan melarikan diri kembali ke sarang mereka meskipun ketika perairan negara dikatakan telah dikawal dengan ketat. Mereka bebas bertindak seolah- olah pasukan keselamatan seperti tidak mampu berbuat apa- apa untuk menghalang. ini jelas menjejaskan bukan sahaja nama baik pasukan keselamatan tetapi juga kredibiliti dan kepercayaan rakyat akan kemampuan pasukan keselamatan untuk melindungi mereka.
Sistem penderia UAV
Jika dilihat kepada modus operandi pengganas yang menceroboh masuk, mereka lazimnya bertindak pada waktu lewat malam menggunakan sampan atau bot kecil dengan enjin bot yang berkuasa tinggi. Mereka akan bergerak pada kelajuan tinggi menuju ke kawasan sasaran dan kemudiannya melaksanakan serangan dalam masa yang singkat sebelum berundur dengan pantas. UAV seperti MQ-1 menawarkan keupayaan yang unik dimana ia boleh bukan sahaja mampu meronda kawasan yang luas untuk jangkamasa sehingga melebihi 10 jam, ia juga dilengkapi dengan sistem penderia canggih yang mampu mengesan sasaran kecil sehingga melebihi 10 kilometer jauhnya dengan jelas. Sistem penderianya termasuklah penderia infra merah yang mampu mengesan kepanasan tubuh manusia dan enjin bot. Secara teorinya sebarang kesan kepanasan dapat dikesan dengan mudah daripda udara terutamanya dengan berlatar belakangkan laut yang sejuk. Bukan itu sahaja, ketika meronda pada pada altitut yang tinggi, UAV sukar untuk dikesan kehadirannya. Malah, oleh kerana struktur yang diperbuat daripada komposit, saiznya yang kecil dan rekabentuknya yang unik menjadikannya tidak mudah untuk dkesan oleh radar.
Kelebihan UAV bersenjata
Idea untuk mengubahsuai UAV agar mampu membawa dan melancarkan peluru berpandu mungkin datang daripada kesukaran serta perlunya masa untuk tentera Amerika bersiap- sedia dan bertindak daripada maklumat daripada UAV. kebanyakan pemimpin pengganas sangat berhati- hati dalam pergerakan mereka dan seringkali tidak berada di satu- satu tempat untuk jangkamasa yang lama. Oleh itu, seringkali sebaik sahaja pasukan serangan bergerak, sasaran mereka telahpun tiada di kawasan tersebut. Sama seperti pemimpin kumpulan pengganas di Afghanistan, kumpulan pengganas yang menceroboh perairan negara sentiasa bertindak pantas untuk mengelak daripada dikesan oleh pasukan keselamatan. Sekalipun jika dikesan, masa diambil untuk mengumpul aset untuk menyekat atau memburu kumpulan pengganas tersebut akan membolehkan mereka memboloskan diri ke perairan negara jiran. Dengan UAV bersenjata, ia membolehkan pasukan keselamatan terus bertindak sebaik sahaja pengesanan dilakukan. Ini bermakna sebaik sahaja pasukan keselamatan mengesan bot laju menceroboh masuk ke perairan negara dan telah dikenalpasti secara positif sebagai bot kumpulan pengganas, UAV tersebut boleh melancarkan serangan untuk memusnahkan bot tersebut. Serangan lazimnya menggunakan peluru berpandu anti armor panduan laser yang akan memastikan serangan tepat ke sasaran dan tanpa kerosakan sampingan atau collateral damage terutamanya ketika serangan dilakukan di kawasan yang mempunyai kadar trafik laut yang tinggi. Kejayaan demi kejayaan untuk menyusup masuk dan menculik mangsa walaupun ketika perairan dikawal ketat sudah tentunya akan menjadikan kumpulan pengganas semakin berani tetapi jika setiap kumpulan menculik yang dihantar tidak lagi kedengaran beritanya, seolah- olah hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan, sudah tentunya mereka akan menjadi gentar dan keberatan untuk menceroboh masuk terutamanya jika telah berkali- kali kehilangan anggota dan aset yang agak sukar untuk dicari ganti. Dengan erti kata lain, harga yang perlu dibayar untuk menghantar kumpulan menculik adalah terlalu tinggi dan tidak setimpal dengan keuntungan yang diperolehi. Oleh itu dalam hal ini, UAV bersenjata mampu bertindak menjadi cegah rintang terhadap sebarang pencerobohan oleh kumpulan pengganas daripada negara jiran.
Permasalahan
Kritikan utama terhadap penggunaan UAV bersenjata di Afghanistan adalah jumlah korban orang awam adalah terlalu tinggi berbanding jumlah pemimpin pengganas yang berjaya dibunuh. Permasalahan ini timbul daripada had keupayaan sistem penderia UAV itu sendiri untuk memberikan maklumat yang diperlukan bagi membolehkan operatornya membuat keputusan yang betul. Sebagai contoh, dalam kepekatan malam, sebuah bot yang membawa sekumpulan manusia bergerak laju daripada negara jiran menuju ke perairan Sabah. Bagaimanakah operator boleh mengenalpasti bot yang dikesan itu musuh atau tidak lebih daripada bot awam yang bergerak laju kerana berlaku kecemasan keluarga? Persoalan mudah seperti ini sudah cukup untuk menunjukkan bahawa risiko untuk operator membuat pengesahan identiti yang salah akan sentiasa wujud.
Kadang- kala langkah membenteras yang diambil oleh pihak berkuasa adalah terlalu berkesan sehinggakan memaksa kumpulan pengganas untuk mengadaptasi bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti mereka. Satu cara yang mungkin diambil untuk mengelak daripada dimusnahkan oleh UAV bersenjata adalah dengan membawa bersama kanak- kanak dan wanita untuk turut serta dalam misi menculik. Mereka sedar bahawa pasukan keselamatan akan cuba sedaya- upaya untuk mengelakkan daripada mengorbankan nyawa orang yang tidak berdosa dan tidak akan menyerang jika mengesan wanita dan kanak- kanak turut sama berada di dalam bot. Membawa wanita dan kanak- kanak bersama dalam misi menculik turut sama membantu mereka untuk menyamarkan diri sebagai bot awam sekiranya berjaya dipintas oleh pasukan keselamatan.
Kesimpulan
UAV bersenjata telah terbukti berkesan dalam konflik menentang insurgensi di Afghanistan dan bertanggungjawap terhadap serangan demi serangan yang memaksa kumpulan pengganas di Pakistan bersembunyi untuk mengelak daripada dimusnahkan. Pun begitu keadaan di Pakistan dan Afghanistan adalah sangat jauh berbeza dengan ancaman yang dihadapi di Sabah. Kelebihan yang ditawarkan oleh UAV bersenjata adalah agak unik dan jika digunakan dengan betul, ia bukan sahaja membantu memantau serta memastikan perairan negara sentiada dikawal ketat, malah mampu menjadi cegah rintang terhadap pencerobohan di masa hadapan. (RENTAKA)