Oleh: Saiful Akbar Mislan.
Peluru berpandu anti kapal bukanlah sesuatu yang baru malah ia telah mula digunakan sejak Perang Dunia Kedua dan biarpun konsep peluru berpandu anti kapal masih belum matang sepenuhnya, ia telah mula menunjukkan potensinya apabila peluru berpandu Fritz- X Jerman berjaya menenggelamkan kapal perang Roma Tentera Laut Itali. Secara keseluruhannya, peluru berpandu ini berjaya menenggelamkan empat buah kapal perang ( sebuah kapal perang, sebuah kapal kruis, sebuah kapal pembinasa dan sebuah kapal hospital) dan mengakibatkan kerosakan yang serius kepada 3 kapal kruis pihak Bersekutu. Era pasca Perang Dunia Kedua sekali lagi menunjukkan betapa peluru berpandu anti kapal mampu memberikan keupayaan kepada kapal peronda kecil untuk memusnahkan kapal pembinasa yang saiznya jauh lebih besar. Ini terbukti apabila sebuah kapal pembinasa Tentera Laut Israel berjaya ditenggelamkan oleh kapal serang laju kelas Komar Tentera Laut Mesir menggunakan peluru berpandu P-15 Termit (SS-N-2 Styx). Sejak daripada itu, peluru berpandu anti kapal menjadi bukan sahaja ancaman yang nyata tetapi juga digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri daripada ancaman kapal perang musuh.
Dalam memperkatakan tentang peluru berpandu anti kapal, seringkali ia tertumpu kepada peluru berpandu yang dikeluarkan oleh negara-negara kuasa besar dan yang terbukti efektif dalam pertempuran. Misalnya RGM-84 Harpoon terkenal kerana digunakan oleh kapal perang Amerika dan negara-negara sekutunya. 3M-80 Moskit (SS-N-22 Sunburn) terkenal dengan keupayaannya bergerak ke sasaran dalam kelajuan supersonik manakala Exocet pula terkenal kerana telah terbukti efektif di dalam beberapa peperangan. Sebenarnya terdapat beberapa peluru berpandu anti kapal yang kurang dikenali atau disebut tetapi tetap efektif dan merbahaya. Salah satu daripadanya adalah RBS-15 keluaran Firma Saab Bofors Dynamics.
Pembangunan peluru berpandu anti kapal Robotsystem 15 atau ringkasnya RBS-15 bermula pada seawal tahun 1949 lagi apabila kerajaan Sweden memesan peluru berpandu anti kapal panduan radar yang diklasifikasikan sebagai Robot-Byran 04 atau ringkasnya RB-04. Ia dilancarkan daripada pesawat dan ujian bermula pada tahun 1955. RB-04C telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Sweden pada tahun 1959 dan dibawa oleh pesawat pejuang J-32 Lansen. Kejayaan peluru berpandu ini telah mendorong firma Saab untuk membangunkan peluru berpandu RB-04 tetapi untuk dilancarkan dari kapal. Pada tahun 1979 dibawah program yang dikenali sebagai KSA, peluru berpandu RB 04 telah diubahsuai rekabentuk fizikal serta motor roketnya tetapi mengekalkan struktur dan kepala peledak asal dan diklasifikasikan sebagai RBS-15. Pembangunan berterusaan sehingga 1985 apabila ia ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Laut Sweden. Empat tahun kemudian, ia mula berkhidmat dengan Tentera Udara Sweden bagi tugas memberikan keupayaan anti kapal kepada pesawat-pesawatnya.
Versi utama
Terdapat empat versi utama peluru berpandu ini iaitu RBS-15M yang dilancarkan dari kapal, RBS-15K untuk versi pertahanan pesisir pantai, RBS-15F untuk versi yang dibawa oleh pesawat pejuang dan RBS-15CD untuk versi eksport. RBS-15M dan RBS-15K secara asasnya adalah sama. Bezanya hanyalah RBS-15K dilancarkan dari pelancar mudah gerak yang merupakan terak Volvo yang telah diubahsuai. Setiap terak membawa empat peluru berpandu RBS-15K siap sedia untuk dilancarkan dan dioperasikan oleh Pertahanan Pesisiran Pantai Diraja Sweden. RBS-15F pula melengkapi pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Sweden terutamanya AJ-37 Viggen dan JAS-39 Gripen. Ia adalah sama seperti peluru berpandu RBS-15 Mk.1 yang lain tetapi tanpa dua motor roket pemangkin seperti yang dipasang pada versi RBS-15M dan K.
Selain itu terdapat empat generasi peluru berpandu ini dimana setiap satu generasi telah dipertingkatkan keupayaannya sesuai dengan keperluan semasa. Generasi pertama yang diklasifikasikan sebagai RBS-15 Mk.1 adalah peluru berpandu yang menggunakan rekabentuk asal serta menjadi asas kepada pembangunan generasi seterusnya. Peluru berpandu ini mempunyai jangkauan operasi sejauh 70+km dan dihasilkan diantara tahun 1985 hingga 1990. Ia tidak lagi dikeluarkan dan dipercayai tidak lagi digunakan oleh Angkatan Tentera Sweden. Dalam tempoh 10 tahun RBS-15 berkhidmat bersama tentera Sweden, pembangunan dari segi teknologi pengkomputeran dan elektronik bukan sahaja menawarkan keupayaan yang lebih baik dalam teknologi persenjataan tetapi juga muncul ancaman-ancaman baru yang menjadikan peluru berpandu anti kapal generasi awal tidak lagi releven atau sudah ketinggalan zaman. Menyedari hakikat ini, Saab Bofors Dynamics dengan kerjasama tentera Sweden telah mula melancarkan program menaik-taraf RBS-15M Mk.1 dan RBS-15K Mk.1 pada tahun 1995 dan diklasifikasikan sebagai RBS-15 Mk.2 dan merupakan generasi kedua peluru berpandu anti kapal ini. Diantara peningkatan keupayaan yang ada pada RBS-15 Mk.2 adalah jangkauan operasi yang lebih jauh, pembaharuan pada sistem panduan sasaran dan keupayaan untuk membelok 90 darjah sebelum menjunam ke sasaran bagi mengelirukan pertahanan kapal perang musuh. Disamping itu beberapa komponen turut diganti baru seperti motor turbojet dan kepala peledak semi penembus armor. Pembaharuan-pembaharuan ini telah meningkatkan berat peluru berpandu ini kepada 800 kilogram! Kedua-dua versi RBS-15M Mk.2 dan RBS-15K Mk.2 mula berkhidmat pada tahun 1997 iaitu kira-kira dua tahun selepas program menaik taraf dimulakan. Kerja menaik-taraf kemudiannya beralih kepada RBS-15F dan pada tahun 2001, RBS-15F Mk.2 telah mula melengkapi pesawat pejuang AJ-37 Viggen dan JAS-39 Gripen, setiap satu mampu untuk membawa dua peluru berpandu anti kapal ini dibawah sayapnya.
Tidak lama selepas RBS-15 Mk.2 digunakan oleh Angkatan Tentera Sweden, program untuk menaik-taraf peluru berpandu ini kepada generasi ketiga telah dimulakan. Jika generasi kedua menyaksikan peningkatan untuk menutup kelemahan generasi awal, generasi ketiga atau RBS-15 Mk.3 pula telah dipertingkatkan lagi keupayaannya secara keseluruhan dan melibatkan perubahan rekabentuk serta gabungan teknologi baru bagi menjadikan kehadirannya lebih sukar untuk dikesan tetapi juga lokasi pelancarannya tidak diketahui. Selain daripada itu, peluru berpandu RBS-15 generasi ketiga ini lebih lincah pada kelajuan subsonik, jangkauan operasi yang lebih jauh iaitu melebihi 200 kilometer serta keupayaan untuk menyerang sasaran di daratan menggunakan sistem navigasi GPS dan INS. Satu perbezaan diantara RBS-15 Mk.2 dan Mk.3 adalah pelancar peluru berpandu RBS-15 Mk.2 harus didongakkan 45 darjah sebelum peluru berpandu boleh dilancarkan sedangkan RBS-15 Mk.3 boleh dilancarkan tanpa prosedur sebegitu. Malangnya buat masa ini, hanya versi RBS-15M Mk.3 sahaja yang dihasilkan. Pun begitu, lain-lain versi turut dirancang dan kerja-kerja pembangunan masih dilakukan secara berterusan. Pada tahun 2003, satu cadangan unuk menaik-taraf RBS-15 Mk.3 kepada generasi keempat telah diketengahkan dan diterima. Diantara peningkatan yang dicadangkan untuk generasi ini adalah kepala peledak yang dipertingkatkan, motor roket pelancar yang lebih efisyen, jangkauan operasi yang lebih jauh dan kepala penderia berkembar. RBS-15 Mk. 3 dibangunkan secara bersama oleh firma Saab Bofors Dynamics dan Diehl BGT Defence.
Ciri-ciri fizikal
Meskipun dalam versi dan generasi yang berbeza, RBS-15 masih mengekalkan rekabentuk fizikal yang sama tetapi dengan beberapa pengurangan komponen utama sesuai dengan cara ia dilancarkan. Pada asasnya RBS-15 adalah sepanjang 4.35 meter dan berdiameter 500mm dengan empat sayap kecil pada badannya dan empat sirip penstabil pada bahagian atas peluru berpandu. Berat setiap RBS-15 adalah sekitar 630 kilogram. Walaubagaimanapun, bagi versi RBS-15M dan RBS-15K, terdapat dua roket pemangkin dipasang pada peluru berpandu yang bertindak memberikan daya tujah tambahan semasa dilancarkan. Apabila peluru berpandu telah mencapai altitut penerbangan yang telah ditetapkan, roket pemangkin akan terpisah daripada peluru berpandu dan enjin turbojet RBS-15 akan mengambil alih dan membekalkan daya tujahan sehingga peluru berpandu menghentam sasaran. Berat RBS-15 bersama dua roket adalah sekitar 800 kilogram. Enjin turbojet RBS-15 agak unik kerana ia boleh menghasilkan pelbagai variasi kekuatan tujahan mengikut keperluan dan mampu memacu peluru berpandu ini sehingga mencapai kelajuan melebihi Mach 0.8.
Sistem kawalan dan panduan RBS-15 terdiri daripada sistem autopilot yang dikawal oleh sistem panduan inersia, sistem penerima isyarat GPS, radar altimeter serta radar penjejak aktif berkuasa tinggi. Radar penjejak ini dilengkapi dengan keupayaan untuk menahan serangan elektronik musuh atau ECCM yang baik bagi membolehkannya terus berfungsi meskipun dihentam dengan serangan elektronik daripada sistem ECM kapal perang musuh. Ia mempunyai antena yang lebar dan memancarkan isyarat radar berkuasa tinggi dalam kadar denyutan yang pantas untuk memberikan keupayaan resolusi pengesanan dan jarak pengesanan yang sangat baik. Sekiranya keadaan memerlukan untuk RBS-15 menyerang sasaran di daratan, ia boleh dilengkapi dengan penderia dua mod radar mahupun pengimejan infra merah. Penderia ini akan membolehkan sistem kawalan dan panduan untuk memilih penderia yang terbaik berdasarkan logik keadaan dan persekitaran bagi membolehkan bukan sahaja sasaran sebenar dapat dikesan tetapi juga serangan disasarkan tepat pada sasaran.
Berbeza dengan peluru berpandu anti kapal keluaran negara- negara barat yang hanya memiliki kepala peledak yang agak kecil, RBS-15 mempunyai kepala peledak letupan berkuasa tinggi/serakan seberat 200 kilogram. Pilihan untuk kepala peledak diletupkan sebaik sahaja RBS-15 menghentam kapal perang musuh atau menangguhkan seketika bagi membolehkan peluru berpandu menerobos sehingga ke dalam sasarannya bagi memastikan kerosakan dihasilkan secara maksimum, ditentukan oleh pilihan fius letupan yang dipasang pada peluru berpandu samada fius impak atau fius kedekatan.
Peluru berpandu RBS-15M dan RBS-15K disimpan di dalam bekas simpanan yang bertindak sebagai pelancar. Bekas simpanan atau kanister ini melindungi peluru berpandu daripada keadaan persekitaran seperti kadar kelembapan yang tinggi, cuaca dan suhu yang tidak menentu sehingga ke akhir hayat peluru berpandu ini iaitu kira- kira 30 tahun.
Apabila dunia melangkah masuk ke alaf baru, keperluan angkatan tentera turut berubah dalam menghadapi ancaman serta keperluan baru. Bom biasa mula dilengkapi dengan penderia yang menjadikannya bom bijak serta jauh lebih efektif. Sistem persenjataan juga menjadi lebih berkeupayaan dan sejajar dengan peningkatan keupayaan dan keberkesanan, kos serta harga sistem persenjataan turut sama meningkat. Oleh itu sistem persenjataan menjadi semakin canggih dan mempunyai keupayaan yang pelbagai. Peluru berpandu RBS-15 juga tidak ketinggalan dengan versi terkininya iaitu RBS-15 Mk. 3. Dilengkapi dengan teknologi radar dan elektronik terkini, RBS-15 Mk. 3 bukan sahaja dimajukan dengan pelbagai keupayaan tetapi juga dengan. Apa yang membuatkan RBS-15 Mk. 3 unik berbanding peluru berpandu anti kapal negara- negara barat adalah ia dilengkapi dengan kepala peledak berkuasa tinggi dalam kuantiti yang besar. Ini membuka potensi baru di mana ia tidak lagi terhad untuk digunakan terhadap kapal perang musuh tetapi juga boleh digunakan sebagai peluru berpandu kruis untuk menyerang aset-aset strategik musuh jauh di daratan. sebelum itu, RBS-15 Mk. 3 harus membuktikan bahawa ia mampu melakukan tugas hakikinya dengan lebih baik daripada bukan sahaja versi RBS-15 terdahulu tetapi juga setidak- tidaknya mampu menyaingi sistem perluru berpandu anti kapal terkini yang lain.
Oleh kerana itu RBS-15 Mk. 3 dari awal lagi direka untuk menembusi sistem pertahanan udara yang canggih. Penderia radar aktifnya boleh diprogramkan agar berfungsi mengikut keperluan semasa sebelum dilancarkan. Bagi menghadapi serangan dan penyerakan elektronik musuh, RBS-15 Mk. 3 dilengkapi dengan sistem ECCM unik. Keupayaan ini digabungkan bersama kemampuan untuk dilancarkan pada londaran pelancaran yang flexibel bagi mengelakkan pengesanan awal oleh musuh serta mampu melakukan pergerakan- pergerakan tertentu untuk mengelak daripada serangan sistem pertahanan udara musuh sekiranya ia telah dikesan. Lebih unik lagi, sekiranya RBS-15 Mk. 3 tersasar daripada objektifnya, ia boleh menyerangnya kembali secara automatik. Operator juga boleh memprogram dan melancarkan beberapa peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 untuk menyerang sasaran yang sama daripada arah yang berlainan serentak untuk mengatasi dan mengelirukan pertahanan udara musuh.
Ditengah- tengah sistem peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 adalah satu komponen penting yang dikenali sebagai Missile Engagement Planning System (MEPS) atau sistem perancangan tempur peluru berpandu. Ia berfungsi untuk membolehkan operator untuk merancang bagaimana setiap peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 menyerang sasaran termasuklah londaran, waktu radar aktif peluru berpandu dihidupkan dan mengkoordinasikan pelancaran peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 daripada beberapa buah kapal perang. Sistem MEPS ini terdiri daripada sistem paparan grafik yang memaparkan peta kawasan operasi bagi membolehkan operator memantau senario operasi dan membuat perubahan kepada pelan tempur setiap peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 sekiranya keadaan memerlukan. Data- data daripada sistem MEPS adalah dalam bentuk digital di mana ia boleh dipancarkan dan menerima data- data untuk dikongsi bersama kapal- kapal perang sahabat mahupun markas armada.
Dalam satu ujian yang telah diadakan pada 15 Mac 2008, sebuah peluru berpandu RBS-15K Mk. 3 telah berjaya memusnahkan sasaran darat. Ujian ini diadakan untuk mengesahkan keberkesanan RBS-15 terhadap sasaran darat. Peluru berpandu tersebut dilancarkan daripada terak dan dengan menggunakan sistem panduan GPS dan londaran serta laluan yang telah diprogramkan dengan terbang rendah melalui pelbagai bentuk muka bumi. Apabila ia menghampiri sasaran, peluru berpandu melakukan pengerakan dongakan secara tiba- tiba dengan daya G yang tinggi menjunam terus ke sasaran.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pengguna pertama sistem peluru berpandu RBS-15 adalah Tentera Laut Sweden yang memasangnya pada kapal serang laju kelas Norrkoping serta kapal korvet kelas Stockholm, Goteborg dan Visby. Disamping itu RBS- 15 turut digunakan oleh Tentera Udara Sweden iaitu RBS-15F yang dilancarkan daripada pesawat pejuang AJ-37 Vinggen dan JAS- 39 Gripen. Pasukan Artileri Pesisir Pantai Sweden turut mengoperasikan RBS-15K yang dilancarkan daripada terak Volvo. RBS-15 turut sama dieksport ke beberapa buah negara dan dikenali secara amnya sebagai versi RBS-15CD. Tentera Laut Finland adalah pengguna asing terawal RBS-15 dimana mereka melengkapi kapal serang laju kelas Helsinki, Rauma dan yang terbaru, kelas Hamina. Mereka telah membeli sejumlah peluru berpandu RBS-15 Mk.2 dan kemudiannya RBS-15 Mk. 3. Bukan itu sahaja, mereka kemudiannya telah menaik taraf kesemua stok peluru berpandu RBS-15 Mk. 2 mereka kepada RBS-15 Mk. 3. Uniknya, ia diklasifikasikan sebagai RBS-15SF-3 atau dalam perkhidmatan Tentera Laut Finland, ia dikenali sebagai Meritorjuntaohjus 1985M atau ringkasnya MtO 85M. Tentera Laut Finland turut sama mengoperasikan RBS-15K yang dibawa oleh terak Sisu.
Peluru berpandu RBS-15 turut sama digunakan oleh Tentera Laut Jerman, Poland, Serbia, Montenegro, and Croatia. Tentera Laut Jerman juga dilaporkan telah memilih peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 dan Mk. 4 untuk kapal korvet kelas Braunschweig dan frigat kelas F125 biarpun RBS-15 Mk. 4 sebenarnya tersebut masih lagi dalam fasa pembangunan. Peluru berpandu ini dikatakan akan dilengkapi dengan penderia radar berkembar yang canggih dan jarak jangkauan operasi yang lebih jauh berbanding RBS-15 Mk. 3. Tentera Laut Croatia pula telah melengkapi 3 buah korvet mereka dengan peluru berpandu RBS-15 disamping RBS-15K yang dibawa oleh terak Tatra. Tentera Udara Croatia turut sama memiliki sejumlah RBS-15F yang telah diubahsuai agar boleh dibawa dan dilancarkan daripada pesawat pejuang MiG- 21. Pengguna RBS-15 yang terbaru adalah Tentera Laut Poland yang telah memesan peluru berpandu RBS-15 Mk. 3 bernilai €110 juta sebagai sebahagian daripada pakej untuk menaik taraf kapal korvet kelas Orkan (Project 660M) disamping menjadi pilihan utama untuk melengkapi korvet kelas Gawron (Project 621). Tentera Laut Poland juga dijangka akan memilih RBS-15 bagi memenuhi keperluan untuk bateri pertahanan persisiran pantai yang dijangka akan ditubuhkan menjelang 2012. Tentera Udara Diraja Thailand pula dijangka akan memiliki sejumlah RBS-15F Mk. 3 sebagai sebahagian daripada pakej persenjataan pesawat JAS-39 Gripen sekiranya rancangan untuk membeli pesawat tersebut diluluskan oleh kerajaan. Pemerhati bebas berpendapat bahawa RBS-15 Mk. 3 akan dapat memberikan kepada Tentera Udara Diraja Thailand keupayaan cegah rintang dan serangan anti kapal jarak jauh dalam menjaga kawasan perairan negara yang cukup luas. Disamping itu, dengan jangkauan operasi pesawat JAS 39 Gripen bersama jangkauan operasi RBS-15 Mk. 3 serta keupayaan peluru berpandu tersebut untuk menyerang sasaran darat akan memberi kuasa cegah rintang yang besar. Gandingan JAS 39 Gripen dan RBS-15 Mk. 3 akan memberikan Tentera Udara Diraja Thailand keupayaan serangan yang meliputi sebahagian besar rantau Asia Tenggara.
Data teknikal
Berat Panjang Diameter Kepala Peledak Fius Enjin Lebar Sayap Jangkauan Operasi Kelajuan Sistem Navigasi Patform Pelancar | 800 kg 4.33 m 500 mm Kepala Peledak Berkuasa Tinggi (HE)/Pra-Serpihan Impak atau Kedekatan Turbojet 1.4 meter 250 km Subsonic Inersia, GPS dan Radar (J Band) Kapal Perang, Pesawat dan Trak yang diubahsuai |
galeri
Reproduction in whole or in part is prohibited without written permission from
Rentaka Advisory Group Enterprise.