Pemerhati pertahanan tempatan rata-rata sudah maklum tentang hasrat kerajaan Malaysia yang bakal menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG-29N menjelang tahun 2015. Pesawat pejuang yang digunakan sejak tahun 1995 ini merupakan tunjang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan menjadi pengimbang kuasa udara negara berbanding dengan negara jiran tetangga yang rata-rata ketika itu telah mengoperasikan jet pejuang moden seperti F-16.
Pada Jun 2009, Panglima TUDM ketika itu, Jeneral Azizan Arifin mengeluarkan kenyataan bahawa MiG-29N milik TUDM akan diganti dengan pesawat yang lebih moden yang mempunyai keupayaan serangan darat dan maritim yang ampuh. Dalam erti kata lain, TUDM memerlukan sebuah pesawat MRCA (Multi-Role Combat Aircraft) yang baru yang bakal berganding bahu dengan pesawat pejuang MRCA Sukhoi-30MKM dan Boeing F/A18D Hornet. Sejak itu, proses pencarian calon ganti telah berjalan rancak, apatah lagi tarikh luput operasi MiG-29N ialah pada tahun 2015.
Bagaimanapun, perjanjian pembelian yang ditunggu-tunggu masih belum menjadi kenyataan. Spekulasi penjanjian bakal ditandatangi pada acara LIMA ataupun DSA yang datang dan pergi masih tidak menjadi kenyataan. Spekulasi demi spekulasi dibuat oleh pengamat keselamatan tempatan dan juga luar negara, seperti spekulasi yang Malaysia bakal menyewa Saab Gripen sebagai langkah sementara memandangkan MiG-29N akan “dipencenkan” tak sampai setahun saja lagi!
Kekangan bajet ialah antara isu yang diutarakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan saya merasakan ini ialah isu pokok di dalam ketidak-sediaan kerajaan memberi kata putus untuk program penggantian pesawat pejuang ini.
Dengan cuaca politik serantau yang agak panas seperti kejadian pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu dan perkembangan kuasa maritim negara China di Kepulauan Spratly, TUDM sememangnya amat memerlukan pesawat MRCA yang baru bagi membantu negara mempertahankan dirinya dan sebagai satu alat “show of force” kepada negara-negara yang mempunyai niat yang buruk dengan Malaysia. Jadi walaupun negara mungkin mempunyai masalah kewangan, negara harus mencari jalan bagi merealisasikan rancangan TUDM yang sudah sekian lama tertangguh.
Dari segi kemahuan, sememangnya adalah lebih baik TUDM membeli jet generasi 4.5 yang terbaru seperti jet kegemaran ramai pemerhati pertahanan tempatan, iaitu Dassault Rafale yang saya tak nafikan kehebatannya. Tetapi, negara dan TUDM harus juga memikirkan impak bajet yang besar yang bukan saja melibatkan kos pembelian, tetapi juga penyelenggaraan, latihan dan pembelian senjata baru memandangkan Malaysia belum pernah mengoperasikan pesawat tempur buatan Perancis.
Bagaimanapun, polisi luar negara Amerika Syarikat yang pasang dan surut tidak digemari oleh Malaysia, dan pengajaran dari kes pembekuan penghantaran pesawat F-16 ke negara Pakistan dan pembekuan penjualan alat-ganti senjata buatan Amerika Syarikat ke Indonesia oleh kerana tidak “sebulu” dengan dasar luar Amerika Syarikat membuatkan pihak kerajaan Malaysia agak berat hati untuk membeli kelengkapan tentera dari mereka, walaupun platform ini amat digemari oleh pihak TUDM.
Pada pendapat penulis, di sinilah pihak kerajaan dan TUDM harus memikir semula strategi memperkukuhkan pertahanan udara negara dengan jumlah kewangan yang agak terhad. Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia dan juga tokoh yang bertanggung-jawab membeli jet-jet pejuang buatan Rusia pernah menyatakan pendapat bahawa MiG-29N yang sedia-ada hanya perlu dinaik-taraf untuk meningkatkan keupayaannya.
Pada pendapat penulis, kerangka udara MiG-29 masih belum ketinggalan zaman dan masih boleh digunakan untuk 10 ke 15 tahun akan datang dengan syarat ia mesti dinaik-taraf seperti apa yang disarankan oleh Tun Mahathir. Projek naik-taraf pesawat pejuang bukanlah satu tindakan yang luar biasa oleh kerana banyak negara sudah melakukannya. Terbaru, negara jiran kita di selatan, Singapura telah mengumumkan bahawa mereka akan menaik-taraf pesawat pejuang F-16C/D mereka. Negara serumpun dengan kita, Indonesia juga telah menerima 24 buah jet pejuang F-16 terpakai dari Amerika Syarikat yang telah dinaik-taraf kepada spesifikasi Block 52ID dan ada kemungkinan 10 buah pesawat F-16A/B sedia-ada TNI-AU jugak akan dinaik-taraf kepada spesifikasi yang sama. TUDM juga pernah menaik-taraf beberapa pesawat pejuang sedia-ada, termasuklah MiG-29 yang menyaksikan penggunaan prob isian bahanapi udara-ke-udara dan penambahbaikan pada sistem radar pesawat.
Berdasarkan perkembangan serantau, projek naik-taraf pesawat pejuang sedia-ada sedang giat dijalankan. Dengan bajet yang terhad, projek naik-taraf MiG-29 yang sedia-ada mungkin satu jalan yang terbaik bagi negara dan TUDM khususnya. Sama seperti projek Sukhoi-30MKM yang banyak mencontohi projek Sukhoi-30MKI Tentera Udara India, projek naik-taraf MiG-29 TUDM juga boleh mengambil contoh projek naik-taraf MiG-29 Tentera Udara India.
Pada tahun 2007, sebanyak 69 buah MiG-29 Tentera Udara India bakal dinaik-taraf yang dikenali dengan nama MiG-29UPG. Projek ini menggunakan pengalaman pihak MiG menghasilkan versi MiG-29 termoden iaitu MiG-29SMT tetapi dengan pakej aksesori bukan buatan Rusia. Dari sini, saya boleh lihat persamaan projek Sukhoi-30MKI di mana pihak India telah menambah aksesori dan kelengkapan yang bukan berasal dari Rusia kepada pesawat mereka.
MiG-29UPG telah mula diserahkan kepada Tentera Udara India secara berperingkat bermula dari tahun 2012. Antara penambah-baikan yang dilakukan ialah penggantian radar asal kepada radar jenis AESA Zhuk-ME yang mampu mengesan sasaran di udara dan juga di darat, prob isian bahanapi udara-ke-udara (di mana kesemua MiG-29N TUDM telah ada), enjin jet RD-33 Series 3 yang lebih berkuasa tinggi (dan khabarnya tidak lagi mengeluarkan asap hitam), sistem avionik baru, kokpit jenis “glass” yang moden dan jangkauan penerbangan yang lebih jauh, terima kasih kepada tambahan ruang penyimpanan bahanapi pada “bonggol” di belakang pesawat.
Dengan penambah-baikan tersebut, pesawat MiG-29UPG mampu melakukan kerja-kerja serangan udara dan kini, ia juga mampu melakukan serangan darat dan serangan maritim dengan baik – satu keupayaan yang tidak dimiliki oleh MiG-29N TUDM buat masa ini. Dengan keupayaan baru ini, pesawat yang asalnya dibina bagi tujuan memintas kini telah menjadi sebuah pesawat MRCA seperti apa yang diimpikan oleh TUDM. Memandangkan Tentera Udara India juga mengoperasikan pesawat Sukhoi-30, maka adalah selamat diandaikan bahawa persenjataan yang dibawa oleh Sukhoi-30 mereka mampu juga dibawa oleh MiG-29UPG mereka untuk serangan udara, darat dan juga maritim.
Malaysia boleh menggunakan pengalaman projek Sukhoi-30MKM untuk integrasi sistem avionik buatan Barat memandangkan MiG-29UPG milik India menggunakan sistem avionik buatan Israel, yang sudah tentu tidak akan digunakan oleh TUDM. Dengan jumlah pesawat yang jauh lebih kecil dari apa yang dimiliki India (16 buah berbanding 69 buah) dan pengubahsuaian custom mengikut keperluan TUDM, kos naik-taraf sebuah pesawat mungkin lebih tinggi daripada US$13 juta (RM41 juta). Andai kata, kos mengubahsuai mencecah US$15 juta (RM48 juta) untuk sebuah pesawat, kos keseluruhan yang perlu ditanggung kerajaan hanyalah US$240 juta (RM768 juta), satu angka yang saya kira mampu dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa membuat pihak pembangkang menjerit di dalam parlimen.
Antara ciri-ciri menarik naik-taraf kepada spesifikasi UPG (yang secara asasnya berdasarkan kepada spesifikasi SMT) ialah sistem pengkomputeraan pesawat jenis “open architecture” yang membolehkan integrasi peralatan bukan buatan Rusia diintegrasi kepada pesawat. Untuk proses standardisasi dengan pesawat Sukhoi 30MKM yang sedia ada, TUDM boleh memilih untuk integrasi peralatan seperti HUD buatan Thales, NAVFLIR buatan Perancis, MAWS dan LWS buatan Afrika Selatan dan pod Damocles buatan Perancis kepada MiG-29 ini. Ia akan memudahkan penyelenggaraan pesawat, latihan kru dan paling penting, kedua-dua pesawat ini mampu digandingkan bersama ketika konflik tanpa membebankan bahagian logistik.
Jika projek naik-taraf ini dilakukan, pesawat MiG-29 milik TUDM dapat dilanjutkan usia penerbangannya antara 10 ke 15 tahun (daripada jangkahayat maksima 25 tahun/2500 jam untuk MiG-29 sedia ada kepada 40 tahun/3500 jam selepas dinaik-taraf). Dengan ini, MiG-29 milik TUDM dianggarkan berupaya dioperasikan sehingga tahun 2025 ke 2030.
Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan keupayaan MiG-29 di masa akan datang, terutamanya apabila berdepan dengan pesawat pejuang yang lebih canggih dan berkeupayaan tinggi. Perlu diingatkan, perkembangan pesawat tempur serantau yang masih lagi mengoperasikan pesawat pejuang generasi keempat dan juga ketiga seperti F-16, F-5 dan juga MiG-21. Australia dan Singapura yang bakal memperkenalkan pesawat pejuang generasi kelima, iaitu F-35, mungkin akan mengambil masa yang lebih lama bagi mendapatkannya memandangkan projek pesawat itu mengalami pelbagai masalah yang masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya. Sebab itu jugalah kedua-dua negara tersebut telah mengambil langkah alternatif seperti Australia yang membeli sejumlah 24 buah pesawat Boeing F/A-18E/F/G Super Hornet/Growler dan Singapura telah mengambil keputusan untuk menaik-taraf pesawat F-16C/D mereka.
Negara China yang bercita-cita menjadi kuasa yang digeruni di Laut China Selatan dan Lautan Pasifik juga dalam jangka masa 10 ke 15 tahun akan datang masih mengoperasikan pesawat pejuang generasi keempat. Pesawat generasi kelima buatan China masih lagi di peringkat prototaip dan hanya dijangka akan beroperasi secara besar-besaran selepas tahun 2020 (target pihak China mengatakan antara tahun 2017 – 2019 tetapi pesawat ini masih mempunyai masalah yang perlu diselesaikan sebelum diproduksi penuh). Buat masa ini, China masih bergantung kepada pesawat J-11 dan Sukhoi 30MKK sebagai pesawat pejuang utama mereka yang lebih rendah keupayaannya berbanding dengan Sukhoi 30MKM dan MiG-29 yang telah dinaik-taraf milik TUDM.
Apabila pesawat generasi kelima diperkenalkan, maka pesawat generasi 4.5 seperti mana yang ditawarkan ketika ini kepada TUDM akan dianggap ketinggalan zaman atau “obsolete”. Jadi, di sini timbulnya persoalan tentang kewajaran kerajaan dan TUDM membelanjakan berbilion Ringgit untuk pesawat yang bakal ketinggalan zaman dalam jangkamasa lebih kurang 5 ke 10 tahun?
Kesemua pesawat yang ditawarkan kepada TUDM tidak mempunyai teknologi halimunan atau “stealth” walaupun dari segi radar, avionik dan persenjataanya boleh dikatakan cukup moden dan berkeupayaan tinggi. Di ruang udara masa hadapan, pesawat pejuang tanpa teknologi stealth ialah umpama menggunakan pesawat berenjin piston untuk bertempur di ruang udara yang dikuasai oleh pesawat jet. Jika projek naik-taraf ini diteruskan, Malaysia mampu untuk memilih pesawat pejuang generasi kelima yang bakal menguasai ruang udara dunia dalam jangkamasa yang terdekat di samping mengekalkan kesiap-siagaan negara dengan mengekalkan skuadron MiG-29 yang telah dipertingkat.
Dengan tahun 2015 semakin hampir, kerajaan Malaysia harus membuat keputusan dengan pantas dan bijak agar TUDM tidak berada di dalam situasi di mana mereka kekurangan pesawat pejuang untuk mengawal ruang udara Malaysia daripada diceroboh.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan RENTAKA.