Pembinaan 'beacon' iaitu struktur navigasi laut yang bertujuan memberi panduan kepada kapal oleh Jabatan Laut Malaysia di kawasan Tanjung Datu, Sarawak, tidak menceroboh perairan Indonesia kerana masih dalam perairan Malaysia.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar bagaimanapun mengakui tapak pembinaan itu terletak di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua belah pihak sejak sekian lama tetapi tegasnya, beacon bukan bertujuan untuk menanda kawasan.
Pihak Indonesia sedia maklum mengenai perkara itu kerana mereka sendiri ada mencadangkan kawasan untuk pembinaan 'beacon' ini tetapi kita tidak boleh bersetuju dengan lokasinya iaitu darjah 040 ke timur," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Indonesia kononnya Malaysia menceroboh perairan negara itu sejauh satu batu nautika dengan membina beacon di kawasan Tanjung Datu, yang merupakan sempadan perairan kedua-dua buah negara.
Ekoran dakwaan itu, Tentera Laut Indonesia (TNI AL) bertindak mengerahkan sebuah kapal perang dari jenis KRI Lemadang, ke kawasan tersebut tetapi Malaysia hanya mengarahkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk menilai keadaan.
Ditanya mengapa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak menghantar aset bagi mengimbangi tindakan Tentera Laut Indonesia, Abdul Aziz berkata, kawasan Tanjung Datu cetek dan lebih sesuai dipantau oleh kapal bersaiz lebih kecil milik Maritim Malaysia.
Menurutnya, tiada sebab untuk angkatan tentera laut kedua-dua negara melatah mengenai isu berkenaan kerana beliau percaya, kekeliruan yang timbul dapat diselesaikan melalui semangat kekeluargaan sebagaimana menjadi amalan sebelum ini.
Indonesia sekarang ini sedang hangat dengan kempen pilihan raya presiden, jadi tempiasnya mungkin terpercik sehingga isu kedaulatan perairan secara tiba-tiba muncul tetapi saya percaya kedua-dua negara cukup matang menanganinya," ujarnya.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika mengulas isu sama berkata, Malaysia tidak mahu ada pihak tertentu di Indonesia sengaja menjadikan isu pembinaan 'beacon' di perairan Tanjung Datu, Sarawak, sebagai modal untuk memanaskan hubungan baik kedua-dua negara yang terjalin sekian lama.
Menurut beliau, apa juga masalah yang timbul antara kedua-dua negara, perkara tersebut perlu diselesaikan melalui meja rundingan kerana pendekatan itu merupakan langkah terbaik.
Beliau yang mengakui ada menerima bantahan daripada Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa, berhubung pembinaan beacon di perairan Tanjung Datu menganggap, isu tersebut kecil dan boleh diselesaikan dengan baik dalam masa terdekat.
Esok akan ada pertemuan antara delegasi Malaysia dengan delegasi Indonesia. Malaysia akan diketuai pegawai-pegawai Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) serta TLDM.
Kita akan selesaikan perkara ini dengan baik melalui meja rundingan dan jangan ada pihak di Indonesia terutamanya cuba membuat spekulasi dengan niat sengaja mahu memanaskan suasana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ditanya mengenai tindakan Tentera Laut Indonesia (TNI AL) mengerahkan kapal perangnya, KRI Lemadang ke kawasan tersebut, Zahrain percaya, perkara berkenaan akan dibincangkan sekali semasa kedua-dua delegasi bertemu esok.
Sudah pasti Malaysia ada asas tersendiri mengapa beacon itu dibina di kawasan tersebut dan mustahil kita bina sesuatu struktur dalam kawasan Indonesia tetapi biasalah, isu begini sentiasa timbul di kawasan sempadan," katanya. (Utusan)