Aset strategik negara kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN (KD TAR) telah berjaya melancarkan Torpedo Black Shark Konfigurasi Latihan (BS EX) di Perairan Laut China Selatan (LCS). Penembakan bagi menguji kesiagaan dan keupayaan sistem kombat dan persenjataan serta kemahiran warga kapal selam. Penembakan kali ini menggunakan sebuah kapal permukaan sebagai sasaran atau dummy target.
Siri latihan pada kali ini memperlihatkan keupayaan dan kebolehan sebenar krew KD TAR mengendalikan Submarine Tactical Integrated Combat System (SUBTICS) dalam melaksanakan penembakan torpedo BS EX. Evolusi ini juga membolehkan analisis tertentu dilaksanakan bagi mempertingkatkan keupayaan serta taktik-taktik pepeperangan bawah permukaan laut.
Latihan pelancaran torpedo BS EX ini turut melibatkan aset-aset lain TLDM dan juga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai aset bantuan untuk keselamatan kawasan, rakaman dan analisis. Peluang latihan operasi di laut juga dioptimumkan oleh semua aset TLDM yang terlibat iaitu KD PERAK, MEGA BAKTI, bot tempur CB 90 dan Tim Penyelam TLDM manakala TUDM telah menugaskan pesawat EC 725 sebagai tim rakaman dan spotter.