Peperangan masa kini adalah amat berbeza sekali dengan peperangan satu abad yang lampau. Perang Dunia Pertama misalnya, adalah bersifat statik. ironinya, biarpun teknologi persenjataan membolehkan mana- mana pihak bertindak pantas bagi merampas inisiatif, malah memusnahkan lawan daripada jauh, pemikiran serta taktik yang digunakan oleh para panglima pada masa itu tidak jauh berubah daripada pemikiran dan taktik yang digunakan ratusan tahun dahulu. Apabila teknologi persenjataan mengatasi taktik dan doktrin yang telah jauh ketinggalan zaman, akibatnya adalah begitu ngeri sekali. Serangan bayonet charge secara besar- besarnya terhadap parit pertahanan musuh yang kukuh dan dipertahankan oleh mesingan serta bantuan artileri sememangnya menuntut korban yang bukan sedikit. Contohnya pertempuran Flanders sahaja telah korbankan nyawa 250 ribu orang meskipun dengan penggunaan kereta kebal untuk memecahkan barisan pertahanan musuh. Pun begitu, pihak berikat hanya dapat mara sejauh lima kilometer sahaja. Operasi amfibia moden pertama kat Galipoli pula menyaksikan ratusan ribu askar pihak berikat langsung tidak dapat mara selama 3 tahun dan akhirnya terpaksa berundur dengan sia- sia. Pengalaman pahit Perang Dunia Pertama telah memaksa ramai jeneral era pasca Perang Dunia Pertama untuk memansuhkan taktik yang telah memakan jutaan korban ini. Seawal tahun 1920an menyaksikan banyak eksperimen dilakukan untuk melahirkan taktik serangan terbaru yang menitik beratkan pergerakan pantas. Malu dengan kekalahan dan bebanan hukuman yang diterima oleh negara mereka, para panglima Jerman paling banyak melakukan eksperimen taktik, doktrin dan strategi terbaru.
Pertempuran di Lahad Datu menunjukkan betapa perlunya kuasa tembakan yang bukan sahaja jitu tetapi juga dapat diatur gerakan dengan pantas mengikut keperluan semasa operasi. medan tempur yang tidak mempunyai garis sempadan yang nyata dan musuh yang menyamar serta bercampur dengan penduduk setempat juga menekankan betapa perlunya aset yang mempunyai perlindungan yang jitu kepada krewnya. Pengganas Tausug bukan sahaja telah mempamerkan keupayaan taktikal yang baik hasil daripada pengalaman perang selama puluhan tahun menentang tentera Filipina, tetapi juga kemampuan untuk meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan dan menyerang di kawasan yang berhampiran. Mereka juga telah mempamerkan keupayaan untuk bertindak secara bijak dalam melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan dengan ada yang menyerang daripada atas pokok. Jelas sekali sekiranya jumlah korban yang tinggi terhadap pasukan keselamatan hendak dielakkan, kuasa tembak haruslah memainkan peranan yang penting. Biarpun pasukan keselamatan telah mempunyai kuasa tembak yang jitu, ia mempunyai beberapa kelemahan utama seperti mengambil masa yang agak lama untuk dipersiapkan sebelum boleh bertindak, tidak memiliki daya mobiliti yang tinggi serta tidak memiliki perlindungan yang boleh melindungi krew daripada serangan meskipun daripada musuh yang hanya dilengkapi dengan senjata kecil. Buat masa ini, bantuan tembakan tidak langsung pasukan keselamatan diberikan oleh pesawat udara, meriam howitzer G5 berkaliber 155mm, meriam howitzer ringan Model 56 berkaliber 105mm dan juga mortar. Keempat- empat aset ini memerlukan masa untuk dibuat persediaan seperti untuk memasangnya sebelum boleh memberikan bantuan tembakan. Disamping itu meriam howitzer dan mortar perlu dibawa atau ditunda serta tidaklah begitu mudah gerak dan mengambil masa untuk diaturgerak ke kawasan operasi. Sifatnya yang statik atau separa statik kurang sesuai untuk digunakan di kawasan operasi yang sentiasa pantas berubah. Aset-aset ini juga terpaksa bergantung kepada kawalan keselamatan setempat untuk melindungi mereka daripada serangan pengganas Tausug yang mungkin berjaya menyelinap ke barisan belakang mahupun para penyokong mereka. Jelas sekali satu lagi aset harus diperkenalkan bagi memenuhi keperluan kuasa tembakan tidak langsung untuk pasukan keselamatan.
Salah satu aset yang terbaik untuk mampu memenuhi keperluan kuasa tembak tidak langsung dan tidak memiliki kelemahan kuasa tembak yang sedia ada adalah Meriam Mudah Gerak atau Self Propelled Howitzer (SPH). SPH secara amnya adalah satu turet khas yang telah direka serta diubah-suai untuk memuatkan meriam, komponen bidikan dan ruang untuk menyimpan peluru berserta casnya dan dipasang pada casis kereta kebal yang sedia. Walaubagaimanapun SPH seperti ini mewarisi kelemaham- kelemahan yang ada pada kereta kebal disamping kurang sesuai untuk dioperasikan di kawasan yang mempunyai jalan yang agak sempit biarpun memiliki daya mobiliti yang baik. Terdapat satu lagi variasi SPH yang lebih sesuai untuk beroperasi di kawasan pendalaman iaitu Meriam Mudah Gerak Beroda atau Wheeled Self Propelled Howitzer (WSPH). WSPH berbeza dimana ia menggabungkan meriam atau turet SPH biasa dengan casis trak biasa. Oleh itu, ia mampu bergerak sendiri tanpa perlu diangkut atau ditarik oleh treler dan mampu memasuki kawasan sempit dengan jaringan jalanraya yang rapuh seperti kawasan kampung serta tidak merosakkan permukaan jalan. Ia juga boleh bergerak pantas di jalanraya dan mampu untuk diaturgerakan dengan cepat ke mana- mana kawasan berhampiran. Oleh kerana ia menggunakan casis serta komponen automotif trak biasa, alatan ganti agak mudah untuk didapati dan diperbaiki sekiranya ia mengalami kerosakan. WSPH juga lebih tidak menaik perhatian ramai berbanding kereta perisai atau kereta kebal. sekiranya turet dan meriam ditutup dengan kain kanvas biasa, ia akan kelihatan seperti lori treler biasa yang sedang mengangkut barang di jalanraya. Pun begitu, kuasa tembak yang dimiliki adalah sama seperti SPH biasa. Salah satu meriam mudah gerak beroda yang ada di pasaran sekarang adalah FH 77BW L52 Archer.
Pembangunan
Meriam Mudah Gerak Beroda Archer keluaran Bofors Defence lahir daripada projek antarabangsa untuk membangunkan satu sistem meriam mudah gerak generasi seterusnya of Tentera Darat Sweden. pembangunan WSPH ini bermula dengan pemberian kontrak oleh Agensi Perolehan Pertahanan Sweden atau Försvarets Materielverk (FMV) kepada firma Bofors AB ( sekarang BAE Systems Bofors AB) untuk memenuhi keperluan tentera darat Sweden pada tahun 2003. Dua tahun kemudian, prototaip Archer telah mula menjalani ujian tembakan dan pada tahun 2007, kerajaan Sweden telah bersetuju untuk membeli sejumlah meriam mudah gerak beroda FH-77BW L52 Archer untuk melengkapi Tentera Darat Sweden. Dalam mereka sistem WSPH baru ini, beberapa aspek telah ditikberatkan dalam pembangunan Archer seperti penggunaan material yang boleh didapati secara komersil untuk mengurangkan kos pembuatan dan penyenggaraan, kuasa tembak jitu yang boleh dioperasikan oleh bilangan krew yang minimum, perlindungan untuk krew serta daya mobiliti yang baik.
Keseluruhan sistem Archer dimuatkan pada casis terak Volvo A30D 6x6 yang telah diubah suai. Terak Volvo ini banyak digunakan di seluruh dunia sebagai lori pengangkut di kawasan pembinaan atau lori kontena dan berupaya untuk mengharungi pelbagai bentuk muka bumi. Oleh itu kos penyenggaraan dapat dikurangkan secara drastik dan alatan ganti mudah untuk didapati secara komersil. Bagi sistem Archer, terak Volvo ini dipasang dengan tayar "run-flat" Hutchinson AMVFI yang membolehkannya terus bergerak sekalipun jika kesemua tayarnya pancit. Terak ini mampu memecut sehingga ke kelajuan 70km/j dengan jangkauan penjelajahan sejauh 500 kilometer sebelum perlu mengisi minyak. Meskipun saiznya yang kelihatan agak besar, Archer boleh diaturgerakkan dengan pantas dengan diangkut menggunakan keretapi atau melalui udara dengan dibawa oleh pesawat pengangkut Airbus A400M. Daya mobiliti Archer yang tinggi adalah penting untuk membolehkannya bukan sahaja sukar untuk dikesan musuh tetapi juga menyusup masuk dengan pantas tanpa disedari. Penggunaan casis terak komersil juga membolehkan kehadirannya kurang disedari dan dianggap sebagai terak biasa tanpa menyedari sistem persenjataan ampuh yang ada dibelakangnya. Jaringan jalanraya yang baik dan menyeluruh membolehkan meriam mudah gerak beroda ini diaturgerakan dengan pantas ke kawasan operasi tanpa perlu dilakukan sebarang modifikasi atau menunggu trailer untiuk membawanya lantas menjimatkan wang dan masa.
Persenjataan Utama
Jantung bagi sistem Archer adalah meriam howitzer FH 77BW L52 berkaliber 155mm. ia adalah hasil daripada pembangunan lanjutan meriam howitzer FH 77B berkaliber 155mm yang telah terbukti keberkesanannya dalam peperangan terutamanya semasa konflik Kargil. Walaubagaimanapun meriam howitzer FH 77BW mempunyai laras yang lebih panjang dan ini memberikannya keupayaan untuk membedil sasaran yang lebih jauh dengan ketepatan yang lebih jitu. Meriam howitzer ini turut dilengkapi dengan sebuah magazin peluru yang mampu memuatkan 20 butir peluru meriam bersama casnya dan operasi pengisian peluru ke dalam kebuk meriam dilakukan secara automatik. Sebagai tambahan kepada 20 butir peluru meriam di dalam magazin, Archer juga boleh membawa 20 butir lagi peluru meriam di dalam turet untuk pengisian kembali magazin dengan pantas sebaik sahaja ianya kosong, berkurangan atau apabila keadaan memerlukan. Laras meriam FH-77BW ini boleh didongakkan diantara 0° hingga +70° dan berpusing daripada −75° hingga +75°. Apa yang menarik, meriam mudah gerak beroda ini hanya memerlukan masa sehingga 30 saat sahaja daripada terak berhenti untuk memulakan operasi pembedilan sasaran. Sebaik sahaja selesai, Archer hanya memerlukan jangkamasa 30 saat untuk bersiap sebelum beredar pantas bagi mengelakkan daripada bedil balas pihak musuh. Seperti meriam mudah gerak yang lain, Archer turut mempunyai keupayaan untuk membuat bedilan berbilang hentaman serentak atau multiple rounds simultaneous impact (MRSI) di mana sehingga enam butir peluru meriam yang dilepaskan oleh sebuah meriam mudah gerak beroda Archer, akan menghentam satu sasaran dengan serentak. Meriam FH 77BW L52 mampu membedil sasaran sejauh 30 kilometer menggunakan peluru meriam biasa, 40 kilometer jika menggunakan peluru meriam yang dibantu oleh cas roket dan sehingga 60 kilometer jika menggunakan peluru meriam M982 Excalibur. Ia juga boleh menembak sasaran pada jarak dekat menggunakan pejera terbuka sehingga ke jarak 2,000 meter terutamanya terhadap sasaran statik. Bagi menangani ancaman armor musuh dengan lebih efektif, meriam mudah gerak beroda ini boleh melepaskan bedilan menggunakan peluru meriam BONUS sehingga ke jarak 35 kilometer.
Uniknya Archer adalah keseluruhan operasi hanya dikendalikan oleh tiga krew dan segalanya dilakukan secara automatik daripada bidikan, pemilihan peluru dan cas hinggalah pengisian peluru kedalam meriam. Apa yang perlu dilakukan oleh krew adalah memasukan koordinat sasaran ke dalam sistem komputer, memilih jenis peluru yang diperlukan dan seterusnya menekan butang untuk melepaskan tembakan apabila meriam telah bersedia. Jika keadaan memerlukan, Archer boleh dioperasikan oleh hanya dua orang krew sahaja. Bandingkan dengan jumlah krew yang diperlukan untuk mengoperasikan meriam howitzer FH-70 155mm iaitu kira- kira lapan orang anggota. Jumlah anggota yang sama boleh mengoperasikan dua buah Archer dan jelas sekali ia menjimatkan serta memaksimumkan penggunaan modal insan pasukan artileri. Satu lagi kelebihan Archer adalah oleh kerana hampir keseluruhan proses bedilan dilakukan secara automatik, Ini bermakna krew boleh terus beroperasi dalam apa jua keadaan di medan tempur mahupun dalam pelbagai keadaan cuaca. Tahap kesiagaan krew juga boleh dikekalkan untuk tempoh yang lebih lama dan membolehkan bantuan tembakan sentiasa bersedia untuk diberikan pada pasukan sahabat yang memerlukan sebilang masa.
Perlindungan Krew
Pasukan artileri adalah merupakan salah satu pasukan yang bukan sahaja yang bersifat teknikal tetapi juga memerlukan masa serta belanja yang tinggi untuk melatih mereka bagi memastikan mereka dapat melakukan tugas dengan efekitif dan bantuan tembakan yang diberikan tepat pada sasaran dengan kuasa yang jitu. Oleh kerana itu anggota- anggota pasukan artileri adalah penting untuk dilindungi. Kemajuan teknologi telah menjadikan tugas pasukan artileri menjadi lebih merbahaya dan mencabar. Musuh kini dilengkapi dengan radar pemantauan tembakan artileri serta UAV dalam usaha mereka untuk memburu pasukan artileri. Oleh itu dalam pembangunan meriam mudah gerak FH-77BW L52 ini, perlindungan untuk krew menjadi salah satu faktor yang amat dititikberatkan. Kabin untuk krew misalnya, bukan sahaja menjadi pusat operasi Archer tetapi juga sebagai kubu untuk tempat krew berlindung daripada elemen- elemen yang merbahaya di medan tempur. Selain menjadikan kabin selesa dengan berhawa dingin, ia juga dilindungi dengan armor yang boleh menahan serpihan letupan meriam mahupun peluru perobek armor sehingga berkaliber 7.62mm. Begitu juga dengan ruang enjin serta bahagian- bahagian penting Archer, turut dilindungi oleh armor yang sama malah tingkap kabin krew adalah kalis peluru dan mempunyai tahap perlindungan yang sama. Disamping itu, ia turut dilengkapi dengan sistem pemadam api yang bertindak secara automatik apabila kebakaran dikesan. Bagi menangani ancaman senjata biologi, kimia dan nuklear, kabin krew turut dilengkapi dengan sistem perlindungan NBC bagi membolehkan krew terus bertugas tanpa sebarang kekangan. Ini bermakna WSPH ini masih boleh terus beroperasi membedil sasaran sekalipun keadaan medan perang telah dicemari oleh agen senjata biologi, kimia atau nuklear. Untuk menghadapi ancaman periuk api mahupun IED, casis, sistem ampaian dan tayar Archer direka agar mampu menahan letupan periuk api berkekuatan sehingga 6 kilogram TNT. Kabin untuk krew juga adalah berasingan dan berada agak jauh daripada turet dimana meriam dan magazin ditempatkan untuk tujuan keselamatan. Akhir sekali, sekiranya terdapat ancaman daripada pasukan infantri musuh, meriam mudah gerak beroda ini dilengkapi dengan sistem persenjataan kawalan jauh PROTECTRON keluaran firma Kongsberg, yang terdiri daripada selaras mesingan berkaliber 12.7mm dan pelancar grenad asap dan dipasang di atas bumbung kabin krew. PROTECTRON membolehkan krew untuk membidik dan melepaskan tembakan tanpa perlu mendedahkan diri kepada risiko untuk ditembak oleh musuh.
Negara Pengguna
Meskipun terdapat beberapa negara yang telah menyatakan minat mereka untuk memiliki meriam mudah gerak ini, sehingga tahun 2012 hanya Sweden yang membeli Archer dimana Tentera Darat Sweden mengoperasikan sebanyak 24 buah. Norway pada satu ketika telah menyatakan komitmen untuk memiliki 24 buah meriam mudah gerak ini tetapi pada penghujung 2012, mereka telah membatalkan hasrat mereka. Oleh kerana jumlah FH-77BW L52 yang sedikit dan tanpa sebarang pesanan daripada luar negara, harga Archer dilaporkan menjadi sangat tinggi. Menurut laman sesawang www.deagel.com, satu unit meriam mudah gerak ini berharga sekitar USD10 juta (atau kira- kira RM34.5 juta). Pada tahun 2008, Crotia dilaporkan sangat berminat dengan meriam mudah gerak Archer tetapi kemudiannya membatalkan hasrat mereka dan membeli sejumlah PzH2000 terpakai daripada Jerman pada harga yang jauh lebih murah. (RENTAKA)
DATA TEKNIK FH-77BW L52 ARCHER
Casis : terak Volvo A30D
Panjang : 14.1 meter
Lebar : 3.0 meter
Tinggi : 3.3–3.9 meter
Berat : 30 tan
Kelajuan maksimum : 70 km/h
Jangkauan penjelajahan : 500 km
Krew: 4 orang (1 pemandu, 3 operator) atau 2 orang (dalam keadaan kecemasan)
Armor : kalis terhadap peluru penembus armor berkaliber 7.62mm dan serpihan letupan.
Persenjataan utama : meriam howitzer berkaliber 155-mm/L52
Jangkauan tembakan maksimum : 40km (peluru ER-BB dengan cas roket) 60 (peluru M982 Excalibur)
Persenjataan sekunder : Mesingan berat berkaliber 12.7mm dan pelancar bom asap yang dipasang pada serta dikawal menggunakan Protectron RWS.