PENUBUHAN Markas Pemerintahan Wilayah Timur Tentera Darat (Mks Wil Timur) yang berpengkalan di Kuching, Sarawak bertujuan memperkasakan kesiapsiagaan Tentera Darat di negeri berkenaan dan Sabah. Markas ini menaungi dua ketumbukan utama iaitu Divisyen Pertama Infantri (1 Div) di Kuching dan sebuah divisyen baharu, iaitu Divisyen Ke-5 Infantri (5 Div) di Sabah.
Pembesaran Tentera Darat ini adalah tambahan daripada pembentukan Pemerintahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang ditubuhkan April tahun lalu berikutan insiden serangan pengganas Sulu di Lahad Datu.Zon tanggungjawab Esscom meliputi kawasan sepanjang 1,733 kilometer dan keluasannya sekitar 100,000 km persegi termasuk 486 buah pulau. Sekurang-kurangnya dua batalion infantri Tentera Darat ditugaskan mengikut giliran di kawasan tanggungjawab Esscom pada satu-satu masa. Sebelum ini, 1 Div merupakan pasukan induk di wilayah Timur dengan tiga buah briged infantri iaitu Briged Ke-3 di Kuching, Briged Ke-5 (Kota Kinabalu) dan Briged Ke-9 (Sibu).Sebuah pemerintahan iaitu Pasukan Angkatan Bersama II (PAB II) pula diwujudkan pada tahun 2000 bagi mengawasi perairan pantai timur Sabah berikutan insiden penculikan oleh kumpulan pemisah Abu Sayyaf di Pulau Sipadan. Di samping itu, PDRM menerusi Pasukan Gerakan Am pula mempunyai dua buah briged infantri di wilayah timur iaitu Briged Sarawak dan Briged Sabah dengan kekuatan tujuh batalion. Jika mengikut perkiraan biasa, pembesaran ini sudah pasti melibatkan pertambahan aset-aset tempur mengikut keperluan sesebuah divisyen infantri. Antaranya pasukan artileri, armor, jurutera medan dan sekurang-kurangnya sebuah detasmen daripada Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta logistik. Bagaimanapun, keperluan unit-unit organik ini boleh diselaraskan daripada aset-aset sedia ada mengikut penggunaan dalam operasi tertentu.
Sementara itu, Raja Mohammed Affandi berkata, penubuhan Mks Wil Timur adalah hasil langsung daripada insiden pencerobohan Lahad Datu awal tahun lalu. Menurut beliau, ia juga sejajar dengan penyusunan kekuatan Tentera Darat agar selari mengikut keperluan pertahanan negara."Serangan di Lahad Datu memperlihatkan wujudnya sebuah markas pemerintahan medan di wilayah timur bagi memudahkan tugas dan koordinasi setelah mengambil kira kedudukan geografi. "Namun begitu, ini bukanlah perancangan tergesa-gesa sebaliknya dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut jumlah perbelanjaan tertentu tanpa berkompromi dalam soal kesiapsiagaan," ujarnya. Apa yang pasti, penubuhan markas pemerintahan baharu tersebut bakal menggandakan kekuatan Tentera Darat yang ketika ini dianggarkan berjumlah kira-kira 80,000 anggota. (Kosmo)