NAMA Pasukan Gerakan Am (PGA) cukup besar dalam sejarah kepolisian negara dengan rentetan perjuangan selama 66 tahun sejak ditubuhkan pada 1948. Pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Darurat menyebabkan sebuah pasukan polis khas yang mahir peperangan hutan perlu ditubuhkan.Sehubungan itu, pasukan Jungle Squad diwujudkan di setiap balai polis.
Apa yang membezakan PPH dengan pasukan polis biasa ialah kemahiran peperangan hutan yang mereka miliki.Fungsi PPH yang fleksibel membolehkan pasukan ini ditugaskan dalam masa yang singkat termasuk melaksanakan operasi cegah rusuhan (PORU) sama seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).Struktur pemerintahan, kelengkapan serta persenjataannya juga sama seperti sebuah batalion infantri tentera termasuk mempunyai platun mesingan dan mortar.Peranan PPH teruji apabila turut terbabit dalam memerangi penyusupan Tentera Republik Indonesia (TRI) semasa Konfrontasi pada tahun 1963 hingga 1966.
PPH melalui fasa baharu apabila PKM melancarkan pemberontakan kedua atau Insurgensi pada 1968 yang menyaksikan pembesaran pasukan berkenaan.Beberapa buah batalion baharu diwujudkan antaranya Batalion (BN) 8 di Simpang Renggam, Johor, BN 9 PPH (Muar, Johor) dan BN 10 (Pengkalan Chepa, Kelantan).Kesemua BN PPH ditadbir mengikut formasi masing-masing iaitu Briged Utara, Tengah, Tenggara, Sabah dan Sarawak. Setiap briged PPH pula mempunyai sebuah skuadron kereta perisai.
Keperluan operasi turut menyaksikan PPH mewujudkan sebuah pasukan khasnya sendiri yang terlatih dalam tugas-tugas perisikan gempur iaitu 69 Komando yang ditubuhkan pada tahun 1969.Terdapat juga lain-lain pasukan yang merupakan sebahagian daripada cawangan PPH iaitu Pengakap Sempadan (Sarawak dan Sabah), Unit Kawalan Kawasan (UKK) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP).Bagaimanapun, Pengakap Sempadan dan UKK telah dibubar pada tahun 1990 dan diserap ke dalam perkhidmatan pasukan polis, manakala UPP dijadikan sebuah pasukan penguat kuasa tunggal.OperasiPerletakan senjata
PKM pada 1989 menyaksikan berakhirnya operasi PPH di hutan belantara. Ini membawa kepada penyusunan semula pasukan ini menjadi PGA pada 1997. Kekuatan PGA dikecilkan menjadi 20 buah batalion.Sepanjang tempoh 16 tahun lalu, walaupun dengan kekuatan yang terhad tetapi PGA masih mengekalkan peranannya sebagai infantri polis.Antaranya terlibat dalam Ops PATI, Ops Pasir di perairan pantai timur Sabah termasuklah dalam insiden pertempuran di Lahad Datu pada tahun lalu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, PGA memerlukan perubahan menyeluruh untuk menghadapi ancaman keselamatan semasa dalam negara."Ini supaya dapat memberi inspirasi kepada negara dan rakyat. Semasa era 60-an dan 70-an, PGA dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH), mungkin kita perlu nama seperti itu juga ketika ini," katanya.Menurut Salleh , PGA yang dikenali sebagai pasukan separa tentera penting diperkasakan kerana mampu melaksanakan tugas polis dan pada masa sama berkebolehan melakukan tugas tentera.Tegas beliau, kekuatan asal PGA perlu dikembalikan dengan menambah bilangan anggota serta kelengkapan kerana pasukan tersebut kekal relevan sebagai barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM). (Kosmo)