KUALA LUMPUR, 9 Jun 14 - Kunjungan rasmi Chief of Staff, Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF), Admiral Katsutoshi Kawano ke atas Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar di Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan hari ini bakal memberi impak kepada diplomasi pertahanan negara terutama dalam memperkukuh hubungan bilateral dan kerjasama serantau antara JMSDF dengan TLDM yang telah sekian lama terjalin.
Mengambil peluang lawatan ulung tersebut, Admiral Katsutoshi Kawano turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, YBhg Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin selain turut membuat lawatan ke Pangkalan TLDM Lumut pada 10 Jun 14 sebagai sebahagian daripada pengisian program lawatan.
Hubungan kedua-dua tentera laut dilihat bertambah kukuh melalui peningkatan jumlah lawatan kapal sejak dua tahun kebelakangan. Pertemuan di antara pemerintahan tertinggi ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap perkongsian maklumat dan profesionalisme antara kedua-dua tentera laut.
Pelbagai isu turut dibincangkan termasuk perkongsian pandangan mengenai hala tuju keselamatan maritim antarabangsa khususnya keselamatan perairan di Selat Melaka di mana Jepun merupakan penyumbang utama kepada dana pemeliharaan dan keselamatan perairan Selat Melaka. Lawatan rasmi ini menunjukkan TLDM dan JMSDF sentiasa bekerjasama dan mempunyai hubungan yang amat baik dalam konteks kerjasama tentera laut.
Secara keseluruhan, lawatan ini memperlihatkan jalinan hubungan yang erat di antara TLDM dan JMSDF selain membuka laluan kerjasama di antara kedua-dua negara serta memberi pulangan yang amat signifikan kepada TLDM khususnya dan negara amnya.