Dua pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadual pulang ke Malaysia pada Selasa malam selepas pencarian udara bagi mencari pesawat Malaysia Airlines digantung berikutan pengumuman pencarian di kawasan dasar laut dijalankan secara intensif.
Dua pesawat itu akan berlepas pada 9 malam manakala sebuah lagi pesawat TUDM C-130 buat sementara waktu ini kekal di sini sehingga dimaklumkan kelak, kata Ketua Skuadron ke-20 TUDM Mejar Muhammad Jafri Suboh ketika ditemui di pangkalan Pearce, Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Bullsbrook di sini.
"Secara peribadi saya lihat seluruh anggota saya tunjuk tahap komitmen dan dan profesionalisme yang tinggi sama ada anak kapal yang melaksanakan tugas penerbangan mahupun anggota bahagian selenggaraan.
"Mereka bekerja keras 24 jam untuk pastikan kesediaan pesawat untuk terbang," katanya.
Kedua-dua pesawat TUDM itu bersama-sama dengan 53 anak kapal dijangka tiba di pangkalan TUDM Subang sekitar 10 pagi pada Rabu.
Pembabitan personel TUDM dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac di Lautan Hindi, bermula pada 29 Mac.
Pada Isnin, Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahu sidang akhbar di Canberra bahawa misi mencari itu akan memasuki fasa baharu dengan tumpuan diberikan kepada kawasan yang lebih luas di dasar laut.
Keputusan itu diambil antara lain setelah didapati begitu tipis kemungkinan sebarang serpihan pesawat berkenaan akan dijumpai di permukaan laut.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan beberapa buah kapal dari Australia, Malaysia dan China akan meneruskan dengan pencarian maritim dan pesawat udara Australia P3-Orion diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.
Mengulas misi keseluruhan TUDM di sini, Muhammad Jafri berkata ia adalah saat-saat membanggakan bagi TUDM dan kru kerana dapat menyertai misi pencarian pelbagai negara ini.
Beliau berkata walaupun pencarian udara telah berhenti di peringkat ini, personel TUDM bersedia untuk kembali bertugas jika diperlukan.
Sementara itu, komander kumpulan RAAF Craig Heap mengucapkan terima kasih dan memuji pasukan TUDM atas tugas hebat yang dilaksanakan dengan tahap dedikasi dan profesionalisme memandangkan tiga pesawat TUDM menjalankan 43 misi dan mengatasi pelbagai cabaran terutama keadaan cuaca yang buruk.
Heap berkata, enam negara yang terbabit dalam operasi mencari di udara perlu menghabiskan masa yang lama mencari visual di tengah-tengah keadaan yang mencabar termasuk yang disebabkan oleh cuaca.
"Sebaliknya mereka mendapat dorongan hebat untuk mendapatkan hasilnya buat anggota keluarga dalam pesawat Malaysia Airlines," katanya.
Heap berkata, kerjasama dengan TUDM yang terjalin sejak sekian lama sebelum usaha mencari ini dimulakan, akan diteruskan walaupun misi pencarian udara di Lautan Hindi dihentikan.
Enam negara yang terbabit dalam pencarian udara ialah Malaysia, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.
Heap berkata pesawat udara Australia P3-Orion akan diletak dalam keadaan bersiap sedia di pangkalan Pearce manakala pesawat negara-negara lain akan pulang ke negara masing-masing secara berperingkat untuk beberapa hari akan datang.
Beliau berkata mereka mungkin menyertai semula usaha mencari jika diperlukan.
Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. (Bernama)