KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pengunjung ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 kali ini bakal dihidangkan dengan demonstrasi ketenteraan yang lebih hebat berbanding siri-siri DSA yang lepas.
Tanpa mahu mengulas lebih lanjut, Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, pastinya demonstrasi ketenteraan yang akan dipamerkan kelak mampu mengujakan pengunjung ke DSA 2014.
"Namun apa yang saya boleh katakan, ia adalah satu demonstrasi yang menarik dan lebih baik berbanding siri-siri DSA yang lepas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pengumuman tajaan dan penyerahan kontrak penyertaan pameran DSA 2014 kepada Kementerian Pertahanan yang diwaikili Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.
DSA 2014 kali ini akan diadakan pada 14 hingga 17 April 2014 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dan hanya akan dibuka kepada tetamu kenamaan, pelawat perdagangan, anggota tentera, pasukan keselamatan, kadet beruniform, penganalisis pertahanan dalam dan luar negara.
Penganjur DSA 2014, DSA Exhibition and Conference Sdn. Bhd., menjangkakan 27,000 pelawat daripada 50 buah negara dengan sasaran 41,000 keluasan tapak pameran bakal ditempah para pempamer. (Utusan Online)