Tidak ramai yang menyedari bahawa negara kita dibina diatas teras yang dibina daripada darah serta pengorbanan perwira negara. Terdapat dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia sejak awal penubuhannya telah dimanjakan oleh pihak British dan terlindung daripada konflik serta fahaman komunisme yang membakar rantau Asia Tenggara semasa era Perang Dingin. Malah mereka lebih berbangga dengan sejarah negara jiran yang pada pendapat mereka, lebih gah dan tersohor kerana ditempa daripada api peperangan, letusan kemusnahan dan darah mereka yang tidak berdosa. Keengganan mereka untuk mencelikkan mata tentang pergorbanan perwira negara yang bersukat darah serta bertimbang daging untuk memastikan pemberontakan pengganas komunis dapat dihapuskandemi keselamatan dan kesejahteraan negara amat menyedihkan sekali. Lebih mengejutkan adalah terdapat suara- suara segelintir generasi muda yang mahukan pengganas komunis diiktiraf sebagai pejuang negara atas alasan mereka adalah salah satu faktor negara diberikan kemerdekaan. Mungkin tiada dikalangan saudara- mara mereka yang disembelih atau diculik, dibunuh dan ditanam di dalam kubur tak bertanda ditengah- tengah belantara agaknya!
Apa yang istimewanya tentang buku ini adalah kira- kira 300 gambar yang sangat- sangat eksklusif dan sangat jarang dapat ditatapi sebelum ini. Gambar- gambar tersebut merangkumi era awal penubuhan VAT 69, operasi- operasi menentang insurgensi yang disertai, sistem persenjataan dan taktik yang digunakan dan kejayaan- kejayaan yang dicapai. Uniknya berkenaan gambar- gambar ini adalah hanya sedikit sahaja yang terdiri daripada gambar rasmi PDRM. Kebanyakan gambar yang disiarkan adalah daripada simpanan peribadi anggota- anggota veteran VAT 69 sendiri dan memberi peluang kepada pembaca untuk menyingkap keadaan sebenar yang terpaksa dihadapi serta dilalui oleh anggota VAT 69 ketika memburu pengganas PKM.
Buku 69 Komando yang eksklusif ini wajar dimiliki oleh mereka yang meminati sejarah negara dan peminat bidang ketenteraan dan kepolisan. Sehingga kini, inilah satu- satunya buku yang ditulis berkenaan VAT 69 yang agak komprehensif dan lengkap dengan gambar yang jarang- jarang dapat dilihat. Ditambah pula dengan kesukaran untuk mendapatkan buku ini, ia sudah tentunya akan menjadi satu tambahan koleksi yang amat berharga kepada mereka yang sememangnya meminati bidang ini dan menjadi penanda aras bagi buku- buku berkenaan unit elit ini yang diterbitkan di masa hadapan. (RENTAKA)
Nota Editor:
Buku 69 Komando masih lagi boleh didapati tetapi kuantiti yang tinggal adalah amat terhad. Kepada mereka yang berminat, bolehlah menghubungi RENTAKA melalui email: [email protected]. Dapatkan segera sebelum kehabisan!!!