Panas, panas, panasss... artikel yang ditulis oleh editor bersekutu RENTAKA, Malik Saedon yang disiarkan oleh akhbar Hariam Metro pada 2 Jun 2014 telah mengundang kontroversi di laman media sosial. Semuanya gara- gara tajuk artikel yang telah diubah oleh pihak editorial Harian Metro. Rata- rata peminat pertahanan meluahkan perasaan tidak puas hati dengan pembelian helikopter tempur untuk PDRM dan mengatakan bahawa PUTD sepatutnya mengoperasikan helikopter tersebut sekiranya pembelian diteruskan. Malah, ada komen nakal yang mengatakan bahawa artikel ini terhasil apabila sel- sel otak penulis tidak dapat berhubung.
Apabila diminta untuk memberikan komen, Malik menegaskan bahawa semua komen negatif terhadap artikel tulisannya dibuat kerana akibat salah faham. "helikopter yang dibeli seperti diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, berkemungkinan besar adalah helikopter bersenjata dan bukannya helikopter penyerang seperti yang difahami umum". Helikopter bersenjata adalah helikopter biasa yang dipasang dengan persenjataan ringan. Idea untuk polis mengoperasikan helikopter bersenjata bukanlah sesuatu yang baru. Banyak agensi penguatkuasaan undang- undang yang mengoperasikan helikopter bersenjata termasuklah US Customs and Border Patrol dan US Coast Guards yang terleak dibawah bidang kuasa US Department of Homeland Security.
Editor Bersekutu RENTAKA itu menambah "Polis di seluruh dunia termasuklah PDRM meiliki elemen paramilitari. PDRM sendiri memiliki aset tempur yang bersifat paramilitari seperti kereta perisai V150 dan pasukan gerakan am serta pasukan khas VAT 69 yang setaraf dengan pasukan khas terbaik dunia. Oleh itu tidaklah menjadi sesuatu yang janggal sekiranya PDRM memiliki dan mengoperasikan helikopter bersenjata kerana pada dasarnya ia adalah helikopter biasa cuma dilengkapi dengan keupayaan untuk dipasang dengan senjata ringan seperti mesingan".
Kontroversi terjadi apabila pembaca hanya membaca tajuk dan terus mengkritik tanpa membaca isi kandungan artikel. Artikel tersebut hanya menerokai kemungkinan sekiranya helikopter tempur yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri adalah helikopter bersenjata dan bukannya helikopter penyerang seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak. "Jika benar helikopter yang dimaksudkan oleh Datuk Sri Dr. Zahid Hamidi adalah helikopter bersenjata, maka secara logiknya ia berkemungkinan akan dioperasikan oleh PDRM. Tambahan pula helikopter PDRM yang sedia ada telah digunakan secara intensif selama lebih daripada 20 tahun. Sudah tiba masanya untuk PDRM menambah lagi keupayaan unit udaranya." kata Malik.
Apabila ditanya tentang komen nakal yang mengatakan bahawa artikel beliau terhasil apabila sel- sel otak beliau tidak dapat berhubung, Malik hanya tertawa. "Mungkin juga sebab saya datang daripada keluarga susah. Hanya dapat minum susu ibu" katanya mengakhiri perbualan. (RENTAKA)